jump to navigation

Anak-anak Adalah Ujian 25/12/07

Posted by nina2s in Pendidikan.
Tags: ,
trackback

 

 

baby

وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar (8:28)

Malaysia kini menyaksikan pembinaan universiti demi universiti. Akak pun tak ingat berapa jumlah sebenarnya. Pelbagai kursus ditawarkan antaranya kedoktoran, pendidikan, kejuruteraan, perakaunan sehinggalah perhotelan.

Apa yang diharapkan apabila tamat pengajian di universiti? Bertahun-tahun menelaah buku, menempuh ujian dan peperiksaan, menyiapkan tugasan dan menghadiri kuliah? Rata-rata mahasiswa mengharapkan jawatan tinggi dan gaji yang besar selepas berjaya memperoleh ijazah.

Akak bukannya hendak memberi komen tentang niat atau tujuan seseorang itu belajar. Cuma akak hendak membuat perbandingan, bahawa kita sanggup bertungkus-lumus membuat persediaan (dan berhutang) demi melayakkan diri kita bergelar doktor, akauntan, jurutera dsb.

Kita berusaha untuk mendapat ijazah kelas pertama untuk menarik hati bakal majikan kita. Honors – memang gah untuk ditulis dalam resume. Alangkah baiknya jika kita memakai sikap yang sama apabila hendak menyandang jawatan sebagai ‘ibubapa’. Jawatan sebagai ibubapa ini automatik Allah kurniakan kepada kita setelah lahirnya anak kita.

Di dalam Al Quran terbanyak ayat yang mengingatkan bahawa anak adalah ‘ujian’ buat kita. Berbeza dengan ujian di kampus yang akan tamat dalam masa 2 atau 3 jam, ujian ini akan berlangsung selama dia hidup. Hatta selepas kematian kita, anak-anak akan berterusan membawa kebahagiaan atau kesengsaraan kepada kita.

Anak bukan sekadar by-product hubungan suami-isteri. Membesarkan anak dewasa ini memerlukan ketelitian, kesungguhan, kecekalan, pengorbanan dan paling penting ilmu. Walau pun sukar mencari buku-buku parenting yang berpandukan Al Quran dan Hadiths, ada beberapa yang sangat baik untuk dijadikan rujukan. Majalah-majalah parenting pun banyak dipasaran dan buku-buku dari barat juga boleh dijadikan panduan. Pokoknya kita banyakkan membaca dan membuat perbandingan antara bahan-bahan yang dibaca.

Ignorance atau kekurangan ilmu kita akan memadamkan kecemerlangan yang sepatutnya menjadi milik anak kita. Contohnya, antara perkara yang mengancam perkembangan tubuh badan dan minda anak seperti walker, TV, makanan rapu dan macam-macam lagi tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibubapa akibat kekurangan ilmu.

Anak itu ujian, tanggungjawab kita mendidik mereka sebaik mungkin. Namun kita tetap menyandarkan segalanya kepada Allah. Kesudahannya terletak dalam kudrat dan iradat-Nya.

 

رَّبِّ زِدْنِي عِلْماً

Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu pengetahuanku (20:114)

Comments»

No comments yet — be the first.